KEYNOTE SPEAKER

PROF. EMERITUS DR. SHAHARIR MOHAMAD ZAIN

 

LATAR DIRI

Nama penanya Shaharir b.M.Z. tidak asing lagi dalam dunia akademia dan penggiat masyarakat di Malaysia. Beliau berpendidikan penuh aliran bahasa Melayu sehingga ke peringkat STPM sebelum melanjutkan pendidikannya ke Australia di bawah Colombo Plan Scholarship 1967-1974 yang berprestij pada tahun-tahun sebelum 1980-an. Beliau beroleh ijazah Ph.D 1974 di La Trobe Univ., Australia dalam bidang Matematik Fizik (anak Melayu Malaysia pertama) dan berkhidmat di UKM sehingga bersara wajib 2002. Beliau beroleh Profesor penuh pada tahun 1983 (termuda ketika itu) dan Profesor Emeritus pada tahun 2014 (agak lambat kerana “politiknya tidak betul”). Pernah menjawat Timbalan Naib Canselor UKM 1988-1994. Kegiatan akademianya diiktiraf di dalam dan di luar negara sehingga beliau beroleh gelaran Zamil atau Felo dari institusi akademia dari UK dan Malaysia; mendapat gelaran Fulbright Scholar dari AS 1985/86 dan Commonwealth Academic Exchange Scholar UK 1979.

Berkhidmat sebagai zamil (jawatan rasminya, Felo) di Pusat Dialog Peradaban, UM sejak 2011 hingga kini.

KARYA

Karyanya cukup pelbagai yang merangkumi bidang matematik tulen, matematik fizik, matematik pengurusan, ekonomi dan kewangan, sejarah dan falsafah sains dan matematik, pemperibumian dan pengislaman sains matematik, etnosains matematik Malayonesia, dan pendidikan matematik. Perjuangannya, “Menegakkan keadilan; Menghasilkan ilmu dalam kebudayaan sendiri khususnya dalam bidang sains matematik”. Perjuangan ini termanifestasi dalam karyanya dan kegiatan sosialnya (sebagai penggerak massa dalam perjuangan penghapusan PPSMI dan DLP dan kegiatan kecendekiawanan masyarakat).

Karya dalam bahasa Melayu beliau bukan sekadar dalam negara tetapi juga di luar negara yang menerima karya dalam bahasa Melayu seperti terbaharunya, “Sukatan keterlestarian ilmu menerusi entropi Shannon” (karya bersama rakannya, Syamil) dalam Internationl. Multilingual Jour. of Contemporary Research (USA) 2015.

Monograf terbaharunya, Cabaran Mantik pada Muslim terbitan Akademi Kajian Ketamadunan 2018 mengandungi perisa pemeribumian dan pengislaman ilmu serta etnosains Malayonesia.

Bukunya yang terbaharu Tertintanya Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik Sejak Abad ke-5 M terbitan USM 2018. Bukunya yang laris jualan juga ialah Sains Matematik dalam Acuan Bahasa Melayu dan Islam, terbitan PTS Akademia 2014. Belaiu banyak mengkritik sains dan matematik semasa, dan antara karyanya ialah Kritikan Teori Kejadian Alam Semesta, terbitan Univ. Malaya 2014.

Karya dalam bentuk makalah di dalam dan luar negara yang terbaharunya, “A review on sustainability as an optimization”. Katha (PDP, UM) 2014, 10: 1-15 dan “A need for a new algebraic system of logic on al-Ghazaly’s reasoning”, Kritike (Filipina) 2016, 10(1): 255-268.

Tidak tertinggal juga beliau terlibat dalam penterjemahan karya agung (dalam bahasa Inggeris) sehingga beliau telah berjaya menterjemah beberapa buah buku falsafah agung sains dan matematik seperti karya masyhur Lakatos, Pemalsuan, Tatkaedah dan Atur Cara Penyelidikan Sains terbitan UKM 2002, dan mutakhirnya ialah “Pentafsiran Kembali Teori-Quantum bagi Hubungan Mekanik dengan Kinematik” (terjemahan makalah agung Werner Heisenberg), Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 2013, 4(1): 101-110.